BAB 20
‘Arrgghhhh... seksanya menanggung rindu. Apa agaknya Ila buat sekarang ni? Adakah dia pun terseksa sepertiku?.. Ah, taakk. Dia takkan terseksa kerana dia menganggapku sebagai senior. Tidak lebih daripada tu. Tak ada perasaan sayang, cinta atau rindu dihatinya. Itulah perkataan yang saling berulang kali diucapnya, bila perkara ini ku tanyakan padanya. Ila... adakah kau mengerti perasaanku? Adakah kau merasainya? Ila... sekiranya kau tak faham dan merasai perasaan ini, dengarlah kedua-dua nasyid ini. Hayatilah liriknya, kerana itulah luahan isi hatiku yang sebenarnya dan seikhlas hatiku. Moga kau dapat mengerti dengan lebih jelas lagi tentang perasaanku.’ Irwan berkata dalam hati.
KU HARAP CINTA
Ku harap kau cuba memahamai
Luahan hati ini yang ingin dicintai
Ku harap kau dapat menghayati
Sentuhan jiwa ini yang ingin disayangi
Tiada balasan
Yang ada hanyalah alasan
Tiada jawapan
Yang ada hanyalah persoalan
Di manakah kejujuran
Di manakah ketulusan
Di manakah keikhlasan
Di manakah kejujuran
Kerana TUHAN hanya mahukan
Kejujuran keikhlasan cinta
HANYA TUHAN YANG TAHU
Ku pendamkan perasaan ini
Ku rahsiakan rasa hati ini
Melindungkan kasih yang berputik
Tersembunyi di dasar hati
Ku pohonkan petunjuk ILAHI
Hadirkanlah insan yang sejati
Menemani kesepian ini
Mendamaikan sekeping hati
Oh TUHANKU
Berikanlah ketenangan yang abadi
Untukku menghadapi resah hati ini
Mendambakan kasih insan yang ku sayang
Di hati ini hanya TUHAN yang tahu
Di hati ini aku rindu padamu
Tulus sanubari menantikan hadirmu
Hanyalah kau gadis pilihanku
Kerana batasan adab dan syariat
Menguji kekuatan keteguhan iman
Insan yang berkasih
“Tini... ada berita terbaru tak?”
“Berita mana satu, berita betul ke berita.... Irwan.”
“Alaa... kau ni. Buat-buat tak faham pulak. Karang tak mau belanja coklat kang, baru tau.” Itu janjiku pada Tini untuk menjadikannya pengintip peribadiku. Nasib baik dia jenis tak cerewet, tak memilih pasal coklat. Kalau tak... adusss... merana aku.
“Oohhh...pasal tu. Ada, jom!” seraya ditariknya tangan aku dan menuju ke meja tulisnya. Aku cuma menurut dan perhatikan gelagatnya. Apa yang dicari? bisik hatiku tatkala melihatnya seperti mencari-cari sesuatu di dalam fail kuliahnya tadi.
“Haa...ni dia. Nah!”, terkejut aku dengan jeritannya tadi, tapi aku sambut juga surat yang dihulurkannya. Tini pergi ke dapur, seolah-olah ingin membiarkan aku membaca surat itu sendirian. Perlahan-lahan aku melangkah keluar menuju ke taman di hadapan asrama kami sambil membuka surat itu.
Aku duduk di sebuah bangku yang menghadap kolam. Aku membaca surat yang cuma sehelai itu perlahan-lahan. Takut dengan kemungkinan yang berlaku, sama ada dia masih menyintaiku atau sebaliknya. ‘Hmmm...rupanya dia masih menungguku, masih mengharap kehadiranku. Ketahuilah Abang Wan, dalam diam aku turut menyintaimu. Sekarang baru aku tahu, bukan dia sengaja nak menjauhkan dirinya, tetapi mahu mengujiku. Ahh... pandainya dia bermain.’ bisik hatiku. Lewat petang baru aku masuk ke dalam bilik. Tini dan Zila menggeleng saja dengan kelakuanku. Merekalah sahabatku yang amat memahami diriku.
Sebaik saja selesai menunaikan Solat Maghrib, aku terus buka radio. Semestinya aku tidak mahu terlepas untuk mendengar kedua-dua lagu nasyid yang diarahkan oleh Irwan.
“Tini, macam mana Irwan boleh jumpa kau?” soalku ketika kami bertiga makan malam.
“Entahlah... aku sendiri pun tak tau. Dia yang nampak aku dulu di kafe pagi tadi.”
“Betul tak dia Irwan, macam yang kau tengok dia hari tu. Yang kau kata dia layan blues?”
“Ha’ah Ila. Betul dia. Muka dia dah cekung tapi still handsome. Ishh, rugi aku tak ajak kau breakfast tadi. Kalau tak, kau boleh tengok sendiri muka dia macam mana. Pagi tadi kau tak de kelaskan?”
“Memang tak de kelas. Sebab tu yang aku malas nak menapak ke kafe. Kalau tak, of course aku dah pergi.”
“Apa yang dia tulis dalam surat tu?” soal Zila yang dari tadi menyepi.
“Tak de apa-apa. Macam biasa. Sama je macam couple-couple lain tulis. Haa... sebelum aku terlupa, aku nak minta tolong korang, leh?”
“Apa?”
“Kalau nasyid Ku Harap Cinta dan Hanya Tuhan Yang Tahu keluar kat radio, korang boleh tak kuatkan radio dan diam?”
“Eh! Sejak bila kau suka nasyid cintan-cintun ni? Pelik aku,” soal Zila. Zila dan Tini memandangku kehairanan.
“Haa... aku dah tau dah,” jerit Tini keriangan.
“Apa yang kau dah tau?” soalku untuk memerangkap Tini.
“Ni mesti Irwan yang suruh kan?”
“100 markah untuk kau. Ni yang buat aku sayang kat kau.”
“Uweekkk...” Kami bertiga ketawa riang. Malam itu, kami seronok usik-mengusik satu sama lain. Sampai keluar air mata dan sakit perut kerana terlampau banyak ketawa.
‘Zila, Tini... kaulah sahabatku dunia dan akhirat. Aku amat berterima kasih pada korang kerana sudi berkawan denganku,’ bisik hatiku.
Akhirnya, di pertengahan semester empat, baru aku memberitahu perkara yang sebenarnya kepada Irwan mengenai perasaanku. Apa lagi, dia bukan main gembira mendengar hal itu dari mulutku sendiri.
Sejak dari itu, kami sudah mula mengenali diri masing-masing dengan lebih rapat lagi. Tapi aku masih lagi berhati-hati. Takut pisang berbuah dua kali. Cukuplah sekali pengalaman perit dan kecewa yang aku alami semasa bercinta di sekolah menengah dulu.
Perkara ini telah aku maklumkan kepada emak dan ayahku. Mereka tidak menghalang, tetapi cukup dengan nasihat supaya aku berhati-hati dan jangan lupakan pelajaran, itu yang utama.
Sepanjang kami bersama, dia melayanku dengan baiknya. Apa saja yang aku mahu, semuanya dituruti tanpa bantahan atau keluhan. Biasalah adat orang bercinta. Semuanya indah belaka, segala manis dan menarik saja. Dalam hatiku asyik berdoa dan berharap agar dia menerimaku dengan seadanya dan seikhlas hatinya. Bukan untuk dipermainkan.
BAB 21
“Ila... kau nak ikut ke tak nak ni?” soal Tini.
“Entah. Aku pun tak tau nak ke tak nak. Tapi kalau ikutkan hati, nak ikut sangat. Ye la...paling-paling kurang pun, berjalan juga aku cuti nanti.”
“Kalau macam tu, kau ikut aje!” cadang Tini.
“Ha’ah. Tak payah kau nak pening-pening lagi. Nanti kalau kau tak ikut, menyesal pulak. Peluang depan mata, rebut je lah.” Zila pula beri rangsangan.
“Tapi aku belum bagitau kat emak dan ayah.”
“Itu kau tak perlu risau. Kau telefon je diorang kat rumah aku nanti. Alaa... takkan emak dan ayah kau tak bagi. Kita tiga orang, perempuan saja. Lagipun kat rumah aku mana ada lelaki. Ayah aku outstation 2 minggu start kita ada kat rumah aku. Nanti aku back up kau dari belakang bila ayah kau tak bagi,” beria-ria Tini mengajakku ke rumahnya. Entah apa mimpinya, aku sendiri pun tidak tahu.
‘Malah, Irwan pun sekampung dengan Tini. Mmm... nak ikut ke tak nak ni? Mmm.. kalau ikut pun best gak. Ahh, ikut je lah.’ ku buat pertimbangan.
“Hmm... okey, aku ikut”, jawabku.
“Haa...macam tu la kawan.”, kata Tini. Tini dan Zila tersenyum riang. Tini tambah-tambah lagi, senyumnya bukan main lebar lagi.
Petang itu, terus saja aku berkemas. Aku akan bercuti di rumah Tini selama seminggu. Dalam masa sejam lagi, Zila akan menjemputku. Petang ini, ayah dan emakku tiada di rumah termasuk adik-adikku. Mereka ke rumah kawan ayah di kampung sebelah, saja menziarah. Aku saja rasa malas hendak mengikut mereka.
Maklum sajalah, sudah habis belajar. Duduk di rumah pun bosan juga. Apa salahnya sekali-sekala pergi berjalan di tempat orang. Tambahan pula, sudah lama sangat aku berjanji dengan Tini dan Zila untuk datang ke rumah mereka. Nasib baik mereka tidak mengungkit hal ini.
“Zila, kau tau ke jalan ke rumah Tini?”
“Takkan aku tak tau pula. Masuk kali ni, dah 3 kali aku ke rumahnya. Alaa...bukannya susah sangat nak cari rumah dia.”
“Mm.. Zila. Lepas ni kita stop nak? Aku lapar la.”
“Hei, kau ni. Perut kau je yang kau jaga ek. Okeyla, aku pun lapar gak.”
Akhirnya, kami berhenti di Hentian Sebelah Bukit Merah. Selepas lebih kurang 30 minit, kami pun menyambung perjalanan kembali. Satu setengah jam kemudian, kami sudah pun sampai di rumah Tini. Tini menyambut kami dengan gembira. Kami pun bersalaman dengan emak dan adik-adik Tini. Selepas makan malam, Tini mengajak kami menonton video CD. Kami menurut saja. Kami menonton Gila-Gila Pengantin. Tidak henti-henti kami ketawa menonton cerita itu.