Sunday, April 24, 2011

[ novel ku ] - Ceritera Kita 6,7

Bab 6

Sungguh pantas masa berlalu.  Kini aku berada di tahun akhir pengajianku. Hari ini, semua pelajar yang sama kemasukan denganku, akan menerima ijazah.  Semua pelajar memakai jubah dan topi berumbai di tepi bahagian kanan yang telah disediakan oleh pihak kolej.
                Semua tetamu dan pelajar sudah berkumpul di dalam dewan untuk menyaksikan acara yang penuh sejarah dan gemilang ini.
                Beberapa minit kemudian, terdengar suara pengerusi majlis memulakan acara.  Kemudian seorang demi seorang siswazah dipanggil untuk menerima ijazah.
                Di akhir majlis, kami mengambil peluang untuk bergambar bersama-sama para pensyarah, rakan-rakan dan juga waris-waris yang hadir. Aku juga tidak melepaskan peluang ini, yang merupakan kenangan terakhir kami di bumi asing ini.
                Petang itu, aku berkemas ala kadar saja. Aku ingin tinggal ditinggal di sini empat hari lagi.  Zila dan Tini pun begitu.  Aku akan pulang ke Malaysia bersama-sama pakcik dan makcikku.  Pakcik dan makcikku mengajakku dan rakan-rakanku bersiar-siar sambil melawat tempat-tempat yang menarik dan bersejarah bermula esok hari, hinggalah ke hari terakhir kami di sini.  Selamat tinggal Australia! Banyak kenangan pahit dan manis aku lakarkan di atas bumimu!.
 

Bab 7                                                


                Syarikat Irwan akan mengadakan Hari Anugerah dua minggu lagi.  Semua stafnya sibuk membuat persiapan untuk hari tersebut, pada akhir tahun ini.
                Kini, segala persiapan sudah siap, dewan sudah dihias cantik dan moden, cuma menunggu hari esok, segalanya akan bermula.
                Setelah semua staf, para tetamu dan para tetamu khas yang dijemput sudah berada di dalam dewan, pengerusi majlis pun memulakan acara.  Pengarah dijemput untuk memberi ucapan, beberapa tetamu khas turut dijemput untuk memberi sedikit ucapan dan tidak ketinggalan juga, para pengurus setiap bahagian turut dijemput untuk memberi sepatah dua kata.
                Kemudian, seorang demi seorang pekerja yang akan mendapat anugerah dipanggil.  Setelah majlis selesai, semua yang hadir dijemput untuk menikmati jamuan khas yang disediakan.
                Irwan diberi Anugerah Pengurus Pentadbiran Kanan Terbaik untuk tahun ini – tahun 1999.




Saturday, April 16, 2011

[ novel ku ] - Ceritera Kita 4, 5


Bab 4


                “Aduuhhh.... letihlaahhh......!”
                “Alaa... sejam je lagi.  Sabar je lah Tini.”
                “Kut ye pun, tolonglah kami sediakan makanan untuk berbuka.  Ingat dia sorang je yang puasa.  Orang lain pun puasa jugaklah.”
                Kini sudah masuk hari yang ke-20, seluruh umat Islam berpuasa.  Tidak sabar rasanya hendak menyambut Hari Raya Puasa yang akan tiba.  Namun tahun ini, kami terpaksa beraya di bumi asing, buat kali kedua.
                Sebelum puasa, rasanya lambat lagi hendak menyambut raya.  Tapi sekarang, hanya tinggal sepuluh hari saja lagi.  Rasa macam tidak percaya pula.
                Sepanjang bulan puasa, disamping melakukan ibadat sunat dan wajib, kami juga agak sibuk membuat kuih-muih dan menghias Dewan Malaysia, untuk menyambut Hari Raya Puasa di situ nanti.
                Al-hamdulillah, sepanjang bulan Ramadhan, bumi Australia sedang mengalami musim bunga. Terhibur juga hati ini ketika melihat bunga-bunga pelbagai warna dan bentuk, mekar berkembang menghiasi laman asrama kolej kami.

                “Ila, Tini...jomlah!”
                “Nak pi mana?”, soalku.
                “Ke Soiree Designs, beli baju raya. Takkan dah lupa kot?”
                “Eh, ye tak ye juga. Macam mana boleh lupa ni,” getus Tini.
                Setelah bersiap ala kadar dan sopan, kami pun bergegas ke Soiree Designs untuk membeli baju raya siap dan murah serta sesuai untuk diri kami.  Balik saja dari butik, semua pelajar Malaysia  kolej kami bergambar beramai-ramai untuk membuat ucapan Hari Raya di dalam sebuah akhbar tempatan Malaysia.

                Lagi seminggu hendak raya, maka makin sibuklah kami menghias Dewan Malaysia, membeli hadiah dan juga menyiapkan sedikit lagi kuih-muih raya.

“Allahuakbarkabiro...walhamdulillahhikathiro...” Berkumandang takbir raya di radio.  Kami semua pelajar yang beragama Islam sudah berada di Dewan Malaysia.

                Semua ahli keluarga sudah berada di kampung.  Keadaan di sini sibuk sekali.  Ramai juga kanak-kanak dan anak-anak jiran datuk dan nenekku di kampung datang beraya di rumah datuk dan nenekku.  Ada juga yang datang dengan keluarga mereka.  Semua sepupu-sepupuku sudah dapat duit raya.

                “Ayah rehatlah. Ayahkan masih sakit lagi.”
                “Tak apa, ayah rasa dah sembuh sikit.  Takkan kau tak bagi ayah bergembira hari ni?”
                “Hmm... hati-hati ye ayah.”
                “Ye la... kau tak usah risau.”
                Emak Irwan pula sibuk melayan para tetamu yang hadir bersama-sama ahli keluarga yang lain.
                Ayah berjalan perlahan-lahan menuju ke ruang tamu sambil diperhatikan oleh Irwan dari belakang.
                Kini, ayahnya pula yang melayan para tetamu.



Bab 5


Cuti pertengahan semester akan bermula tidak lama lagi.  Aku rasa ingin pulang ke Malaysia, untuk melepaskan rinduku pada keluarga dan tanah air.  Sudahku utuskan surat pada keluarga, bahawa aku akan bercuti.  Aku juga meminta agar emak menyediakan rendang, ketupat, lemang dan lontong.  Aku teringin sangat memakannya.
                Emak sibuk di rumah menyediakan makanan yang dipinta oleh Kak Ila.  Ucu sibuk menanyakan itu ini pada emak.

Kini cuma tinggal dua hari saja lagi aku akan pulang ke tanah air.  Tentunya Azlin dan Ucu tidak sabar menunggu kepulanganku di sana.  Tidak lupa, aku membelikan dua buah buku cerita buat Azlin, sebuah buku mewarna untuk Ucu dan beberapa jenis cenderahati untuk emak dan ayah.

Kapal terbang Boieng 747 berlepas meninggalkan Lapangan Terbang Sydney. Perjalanan ke Pulau Pinang mengambil masa lebih kurang lapan jam dan hatiku tidak sabar untuk sampai ke Pulau Pinang.  Di sekelilingku sekarang ditemani oleh awan-awan yang memutih.
                “Miss, you want a drink?
                Suara pramugari mengejutkan aku dari terus mengelamun. Sambil tersenyum, aku menyambut jus oren yang disuakan padaku.
                “Thanks.
                Mataku beralih ke kaca televisyen pula.  ’Seronok juga cerita ni.’ bisik hatiku.
                Kedengaran pengumuman dibuat.  Kapal terbang yang aku naiki ini sudah sampai di Kuala Lumpur dan, sebentar lagi akan mendarat di KLIA.  Pramugari dan pramugara menyuruh semua penumpang memakai tali pinggang keselamatan semasa mendarat.
                Aku lantas mengambil beg dan menunggu di Balai Menungu, untuk menunggu kapal terbang yang akan membawa aku ke Pulau Pinang pula. Beberapa minit kemudian, aku sudah berada             di dalam perut kapal terbang.  Ayah sudah berjanji akan menjemput aku di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas.

                “Emaakkk, Kak Ila dah balik!” jerit Ucu.  Emak meluru ke arah aku di beranda. Aku mencium tangan emak.  Ayah membawa masuk begku ke dalam rumah.  Semua kelihatan gembira sekali.
                Setelah lewat petang, baru aku dapat tatap wajah Azlin yang baru pulang dari sekolah.  Emak ke dapur.  Terus aku mengambil beg plastik yang mengandungi buku untuk Azlin dan Ucu dan memberikan kepada mereka berdua.  Mereka gembira dengan pemberianku.
                Emak memanggilku.  Aku berjalan ke dapur.  Alangkah gembiranya aku.  “Terima kasih emak.”  Aku makan semua makanan yang diminta olehku dengan sepuas-puasnya petang itu.
                Esoknya ayah bekerja.  Ucu pula hari ini ada sukaneka di sekolahnya.  Selama dua minggu, aku akan menolong emak di rumah.  Aku akan cuba memanfaatkan percutianku dengan menghayati kampungku, sebelum kembali memerah otak dan tenaga untuk belajar.

Saturday, April 9, 2011

[ novel ku ] - Ceritera Kita

Bab 3


                “Syed, kau cuba dapatkan maklumat yang lengkap dari kilang LEB.”
                “Baik cik..” Syed patuh pada arahan majikannya.
                “Man, beritahu semua staf bahagian pengurusan ada meeting pukul 10.00 pagi esok, penting. Semua staf mesti hadir,” arah Irwan melalui interkom.
                Hmm...baru pukul 1.00 petang, 15 minit lagi lagi masuk waktu Zuhur, pastu lunch....apa nak buat sekarang ni...’ bisik hati kecil Irwan.  Lantas, tangannya mencapai telefon bimbitnya, lalu ditekannya punat-punat di telefon bimbitnya, memeriksa pesanan yang dirakam.
                Hampir kesemua pesanan yang diterima mengenai urusan kerja.  Akhir sekali baru dia mendapati pesanan dari Azlin.  Dia pun terus mendail ke rumah Azlin untuk menjawab pertanyaan Azlin, serta memberitahu serba-sedikit tentang dirinya dan tidak lupa juga bertanyakan tentang keluarga Azlin.
                Sebaik saja habis lunch, Irwan terpaksa pula uruskan temuduga kepada orang ramai yang ingin bekerja di syarikatnya.  Pening kepala dibuatnya.  Mana tidaknya, dia tidak pernah menemuduga orang.  Tambahan pula, rakannya yang ditugaskan untuk kerja ini mengambil cuti sakit. Hampir tamat waktu pejabat, baru dia dapat menghabiskan tugasan yang maha berat itu.

                “Wan, kau free tak balik ni?” tanya Zaini.
                “Kenapa?”
                “Boleh tak kau tumpangkan aku ke bank jap?”
                Sorry lah Zai, aku letihlah. Esok je la ye..”
                “Hmm, okeylah kalau gitu. Jangan lupa esok ye..”
                Okey Zai, aku balik dulu.”
               
                Malam itu, dia dapat berita dari ibunya, bahawa ayahnya sakit tenat.  Letihnya belum hilang lagi, kini dia terpaksa bekejar pulang ke kampungnya.
                Dalam perjalanan, dia menelefon ibunya untuk mengetahui keadaan terkini ayahnya.  Ibunya memberitahu ayahnya telah dimasukkan ke ICU sebentar tadi di Hospital Besar Perak.  Dia terus memecut laju di Lebuhraya Utara-Selatan.

Sunday, April 3, 2011

[ novel ku ] - Ceritera Kita 2

Bab 2


“Mak, mak...lihat ni!” jerit Ucu sebaik saja mendapat surat daripada posmen tadi.
“Apa dia?”
“Surat dari Kak Ila mak,” sampuk Azlin.
Emak segera mendapatkan surat dari tangan adik.  Antara kandungan surat itu ialah...

...Ila di sini sihat saja.  Ila minta maaf sebab lambat balas surat.  Sekarang Ila sibuk menyiapkan assignment.  Bagaimana cuaca di sana?  Masih hujan lagi?  Ila berdoa agar semua di sana selamat.  Terima kasih atas nasihat mak tempoh hari.  Insya-ALLAH Ila ikut nasihat mak.
                Ila akan tamatkan pengajian Ila dalam hujung tahun ni.  Doakanlah kejayaan dan diri Ila         di sini.  Bagaimana pula dengan Irwan?  Adakah dia masih belajar atau sudah bekerja?  Sudah lama Ila tidak mendengar berita darinya.  Kirimkan salam Ila kepada semua orang di sana dengan lafaz “Assalamualaikum...”

                Emak menarik lafaz lega bila mengetahui Ila sihat.
                “Azlin!”
                “Ya mak”
                “Telefon Abang Irwan, cakap padanya, Kak Ila tanya sama ada dia bekerja atau belajar dan juga kirim salam padanya,” arah emak.
                Telefon di rumahnya berdering beberapa kali, tetapi tidak dijawab.  Azlin cuba pula menelefon Irwan melalui telefon bimbit.  Namun hampa juga.  Azlin cuma boleh tinggalkan pesanan.
                Azlin pergi menyambung ulangkajinya yang terbantut tadi.